Assalamulaikum.

Dah lama sangat rasanya tak berblog ni. Bila ada banyak masa di musim PKP ni teringin nak berkongsi resepi masakan-masakan yang mudah terutamanya menu-menu dari negeri Kelantan. Maklum la bila tekak kampung, dari kecik makan makanan kampung. Selalu makan masakan arwah mak yang memang sedap dan kena dengan tekak sendiri. Bak kata orang, air tangan mak adalah masakan yang paling sedap dalam dunia kan.

Hari ini saya nak berkongsi resepi ringkas, mudah and of course sgt sedap, iaitu resepi 'Singgang Daging Kelate'. Biasanya resepi ni sangat popular apabila tiba musim Hari Raya Haji @ Hari Raya Korban. Tulang @ daging lembu yang baru disembelih lebih segar menjadikan singgang tulang lebih sedap kerana isinya lebih lembut. Biasanya singgang tulang ini akan dihidang bersama daging goreng. Memang sedap sangat.



Ada pelbagai cara yang menjadi pilihan untuk penyediaan singgang di mana ada yang suka bahan-bahannya di blend, ada yang suka ditumbuk dan ada juga yang memilih untuk menghiris bahan-bahannya. Terpulang pada masing-masing. Rasanya tetap sama, sedap. Jika tak nak nampak kuah penuh dengan bahan-bahan kasar, kita boleh mengisar semua bahan.

Resepi :

1. Tulang lembu (boleh dicampur juga dengan sedikit daging)
2. Bawang merah (boleh dimayang, kisar atau tumbuk)
3. Bawang putih (boleh dimayang, kisar atau tumbuk)
4. Lada kering (kisar atau tumbuk)- tidak terlalu banyak cukup sekadar untuk nampak sedikit merah.
5. Ketumbar (ditumbuk)
6. Sedikit belacan
7. Lengkuas (dihiris kasar atau halus, kisar atau tumbuk)
8. Air
9. Garam
10. Gula melaka/gula merah (nisan kerek)
11. Asam keping (lebihkan)

Cara-cara memasak.
1. Rebus tulang sehingga empuk (bila dah nampak sedikit tertanggal dari tulang maknanya dah mula empuk).
2. Masukkan bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih, lada kering, ketumbar, belacan dan lengkuas serta asam keping. Rebus lagi sehingga betul-betul empuk.
3. Masukkan bahan-bahan seperti gula melaka dan garam.
4. Bila dah nampak betul-betul empuk boleh la padamkan api dan sedia untuk dihidang.



Nampak sedap kan.. Selamat mencuba!